View issues with Tan Seng Giaw

Tuesday, October 23, 2012

Marilah kita bersama-sama menuju ke Putrajaya

Ucapan Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong, di Konvensyen Khas Pakatan Rakyat, PR, di Kuantan pada 21.10.2012.


Saya berasa gembira dapat menyertai Konvensyen ini bersama-sama dengan saudara-saudari untuk persiapan yang bererti dan bersejarah di Kuantan. Kita menghadapi pelbagai masalah dan halangan. Kita terpaksa mencari jalan supaya kita boleh bersama-sama memara ke Putrajaya.

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib mengulangi bahawa PR adalah tidak mampu untuk menerajui kerajaan persekutuan. Hari ini, kita mengupas keadaan dan mendapati bahawa tanggapan beliau adalah salah. Kita tahu kerangka Kerajaan Barisan Nasional, BN, adalah lapuk. Kita tahu yang lapuk ini tidak dapat ditransformasikan. Kita tahu ia mestilah digantikan dengan sistem kerajaan PR yang cocok dengan zaman terkini.

Selepas 55 tahun Kemerdekaan

Zaman beralih, masa berubah. Lima puluh lima tahun yang lepas, para pengasas semua kaum yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman membawa kita ke kemerdekaan dengan cita-cita yang murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk nilai-nilai, prinsip-prinsip hak-hak asasi, kebebasan dan kebahagiaan. Selepas 55 tahun, wajah Malaysia sudah betukar daripada negara pertanian kepada industri dan daripada separuh universiti awam, Universiti Malaya, kepada 20 buah universiti awam, Institusi Pengajian Tinggi Awam, IPTA. Selepas 55 tahun, terdapat banyak dasar yang kurang adil. Selepas 55 tahun, kilang Lynas dengan sisa radioaktif boleh dibina di Gebeng, Kuantan. Selepas 55 tahun, jurang di antara yang miskin dengan yang kaya adalah besar. Selepas 55 tahun, perpaduan di antara kaum adalah kurang. Selepas 55 tahun, kualiti pendidikan dari sekolah rendah hingga univerisiti adalah diragui. Selepas 55 tahun, gejala rasuah berleluasa.

Sekarang menginsafi

Sekarang, rakyat menginsafi bahawa cita-cita prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang tercakup dalam Perlembagaan Persekutuan masih juah untuk dicapai. Pelbagai faktor menimbulkan gejala-gejala serius jenayah dan gengsterisme di kalangan kaum. Sekarang, rakyat menginsafi bahawa sistem kerajaan BN perlu digantikan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan lebih saksama. YAB Najib melaungkan 1 Malaysia. Tetapi, timbalannya YAB Muhyiddin menekankan 2 Malaysia. Sekarang, rakyat menginsafi YAB hendak transformasi, misalnya ekonomi. Ada 130 projek dengan jumlah pelaburan RM203.1 bilion. Malangnya, amalannya tidak ada ketelusan dan tidak ada akauntabiliti. Sekarang, rakyat menginsafi bahawa Transparency International menganggarkan ketirisan di negara ini adalah lebih 30%. Cuba bayangkan ketirisan dari RM203.1 bilion, mungkin adalah lebih RM70 bilion.

Sekarang, rakyat menginsafi bahawa YAB Najib menegaskan bahawa nilai etika diamalkan bendung gejala rasuah di akar umbi. Akan tetapi, apabila seorang Ketua Menteri mengundurkan diri semasa mesyuarat EXCO membuat keputusan untuk meluluskan beribu-ribu hektar tanah kepada sanak-saudaranya, beliau tidak boleh dihadapkan ke mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM. Jika perkara ini berlaku di Hong Kong atau Singapura, beliau sudah lama dimasuk ke rumah Yang di-Pertuan Agung.

Sekarang, rakyat menginsafi bahawa SPRM haruslah dijadikan Suruhanjaya Perkhidmatan yang hanya bertanggungjawb kepada parlimen. SPRM memerlukan 5,000 kakitangan. Kini, ia mempunyai 1,600 tanpa mengira kerani. Belanjawan 2013 memperuntukan RM276 juta dan pertambahan kakitangan 150 orang setahun. Pertambahannya mestilah sekurang-kurangnya 500 orang setahun dan peruntukan Rm400 atau rM500 juta setahun.

HARAPAN

Kita mempunyai harapan untuk menggantikan BN di Putrajaya sebagai Kerajaan Persekutuan. Kita mempunyai harapan untuk mencapai cita-cita, nilai-nilai dan pinsip-prinsip yang tercakup dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mempunyai harapan untuk menggunakan kemampuan menerajui kerajaan persekutuan. YAB Najib mengulangi bahawa PR tidak mampu menerajui kerajaan pusat. Cuba lihat keupayaan PR di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Kita mempunyai kemampuan untuk menguruskan kewangan Malaysia seperti yang ditunjukkan di Selangor dan Pulau Pinang. Belanjawan yang defisit diuruskan menjadi belanjawan berlebihan. Kita mempunyai harapan untuk melaksanakan dasar-dasar PR yang terkandung dalam Buku Jingga.

Kerangka kerajaan BN sudah lapuk. Kita mampu mengambil alih tampuk pemerintahan. Kita mampu memenuhi cita-cita rakyat.

Sungai Kuantan ikan kurang,
   Pendayung patah balik lelah lesu;
Kilang Lynas perlu ditentang,
   Nak pecah ruyung mendapat sagu.

Semua terpaksa berusaha kuat untuk mencapai cita-citanya. Kilang yang mengeluarkan sisa radioaktif yang perlahan diizinkan beroperasi di Gebeng, Kuantan.

Kita mempunyai peluang untuk memberi rakyat hak-hak kehidupan dan pengejaran mencapai kebahagiaan. Kita menerangkan gula-gula yang dihulurkan oleh BN. Ibarat burung mulut manis jangan dipakai.

Kita mempunyai peluang untuk memperjuangkan matlamatnya tanpa kekerasan. Kita memperjuangkan secara aman dan damai. Kita menghadapi pelbagai rintangan. Ibarat telur, pecah satu pecah semuanya.

Pisang sesikat,
  Gulai sebelanga;
Tanda muafakat,
  Bersama-sama.

Marilah kita bersama-sama memara ke Putrajaya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home